Lawatan Ilmiah Industri Tenaga ke Stesen Janakuasa Sultan Ismail Petra, Pergau dan Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban

/, News, Student Activities/Lawatan Ilmiah Industri Tenaga ke Stesen Janakuasa Sultan Ismail Petra, Pergau dan Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban

Nilai | Pada 17 hingga 18 Jun 2026, satu program lawatan ilmu selama dua hari telah diadakan ke Stesen Janakuasa Hidroelektrik Pergau dan Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban, Kelantan. Program ini melibatkan seramai 27 orang pelajar daripada program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian dan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Lawatan ini telah diiringi oleh Ir. Ts. Dr Shamsul Fahmi Mohd Nor sebagai pensyarah pengiring.

Program ini bertujuan memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai operasi dan pengurusan fasiliti penjanaan tenaga berskala besar di Malaysia. Stesen Janakuasa Hidroelektrik Pergau yang diuruskan oleh TNB Genco merupakan stesen janakuasa hidro terbesar di Malaysia dengan kapasiti penjanaan sebanyak 600 MW. Stesen ini memanfaatkan sumber tenaga air dari Empangan Pergau untuk menjana tenaga elektrik yang disalurkan ke sistem grid nasional. Melalui lawatan ini, para pelajar berpeluang memahami prinsip operasi sistem hidroelektrik, komponen utama loji janakuasa, aspek penyelenggaraan, serta peranan tenaga hidro dalam menjamin kestabilan bekalan elektrik negara. Selain itu, para peserta turut berpeluang melawat Ladang Solar Terapung Danau Tok Uban yang terletak di Pasir Mas, Kelantan. Projek ini merupakan antara ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti penjanaan sekitar 60 MW yang diuruskan oleh Cypark Resources Berhad. Teknologi solar terapung yang digunakan membolehkan tenaga suria dimanfaatkan secara optimum di atas permukaan air, sekali gus menyokong agenda pembangunan tenaga boleh baharu negara.

Lawatan ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi fotovoltaik, sistem penyambungan ke grid, serta cabaran dan potensi pembangunan tenaga hijau pada masa hadapan. Diharapkan program lawatan ilmu ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada para pelajar melalui pengalaman pembelajaran secara langsung di industri. Pendedahan terhadap teknologi penjanaan tenaga hidroelektrik dan tenaga suria bukan sahaja dapat mengukuhkan pemahaman teori yang dipelajari di bilik kuliah, malah mampu meningkatkan minat serta motivasi pelajar untuk terus meneroka bidang kejuruteraan tenaga dan teknologi lestari demi menyokong pembangunan sektor tenaga negara pada masa hadapan.

2026-06-18T15:26:40+00:00